SAC II Tan Kok Liang amat teruja dengan keindahan Tagal Rangalau - Sungai Kadamaian setelah melihatnya di blog ini. Beliau telah mengambil kesempatan pada hari kelepasan hujung minggu untuk berada di tempat ini bersama-sama dengan DSP Mohan a/l Nadasen, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Perkhidmatan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud, Kota Belud, Sabah, yang juga dikenali sebagai seorang pegawai polis yang amat mesra dan prihatin terhadap keselamatan awam khususnya di kampung Rangalau.
SAC II Tan Kok Liang (Tengah) DSP Mohan (Belakang) Sehing Maselang (Kanan) di Jambatan Lubuk Linsukon |
Lawatannya disambut mesra oleh En. Sehing Maselang, Ketua Pengawal Bombon / Tagal Rangalau. SAC II Tan Kok Liang yang juga merupakan Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, mengatakan tidak ada sungai sebesar dan seindah Sungai Kadamaian yang mempunyai air yang jernih dan bersih di mana-mana tempat di Semenanjung Malaysia. Masyarakat setempat khususnya penduduk di kampung Rangalau harus merasa bertuah kerana mempunyai khazanah alam semulajadi yang begitu unik ini. Beliau juga agak kecewa sedikit kerana terdapat sampah sarap yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggung jawab di merata rata tempat di beberapa kawasan tagal tersebut. Sudah tiba masanya pihak pengurusan tagal memperkenalkan peraturan yang dapat menghalang air sungai ini dicemari dengan sampah. Setelah lebih kurang 5 bulan menjaga tagal ini tidak kira siang atau malam, ikan-ikan besar sudahpun dapat kelihatan dari jambatan yang merintangi lubuk Linsukon dan di sepanjang kawasan tagal. Walaupun kadang-kadang ada pihak yang datang dan dengan sengaja menangkap ikan di kawasan tagal ini, namun dengan kematangan dan semangat yang ada pada belia-belia yang ditugaskan untuk menjaga tagal ini, syukurlah tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Lawatan SAC II Tan Kok Liang, walaupun tidak lama, ia cukup untuk memberi dorongan dan semangat kepada AJK Tagal untuk terus menjaga kawasan tagal. Kunjungan beliau ke tempat ini merupakan satu pengiktirafan besar. Saya yakin SAC II Tan Kok Liang dan DSP Mohan, akan dapat meluangkan masa bersama-sama dengan penduduk Rangalau pada waktu penuaian tagal yang pertama nanti.