Wednesday, March 17, 2010

Bombon Rangalau -Bakal Menjadi Tarikan Pelancong

RANGALAU, 2 March 2010: Dua bulan selepas perasmian Bombon Kg Rangalau yang melibatkan sungai Kadamaian bermula dari Riluh Dimala ke Kinoukabon, kini telah menjadi tarikan pengunjung bukan saja dari penduduk kampung sendiri malah dari kampung berdekatan dan luar daerah Kota Belud. Kawasan sepanjang lebih kurang 2 kilometer ini mempunyai tarikan yang unik dari segi kedudukan geografinya yang diapit oleh dua banjaran. Banjaran pertama yang terletak dari arah matahari terbit iaitu dari Bukit Kapur melewati kawasan Gantung, Bukit Bendera dan menghala ke Pangansad, Daog Gaur, Bukid Rantai. Ia adalah anak anak bukit yang membentuk banjaran Crocker yang menghala ke Gunung Kinabalu, yang juga adalah gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dan telah menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia. Manakala banjaran kedua pula iaitu dari arah matahari terbenam, bermula dari Bukit Purak Mato ke Munduk Sirung yang merupakan tempat asal usul penduduk Kampung Rangalau, menghala ke Pinasang dan seterusnya ke kawasan tinggi Komburaon yang juga adalah serpihan daripada Banjaran Crocker yang membentuk tanah tinggi Kundasang di mana bertapaknya Gunung Kinabalu.
Kawasan Bombon ini juga dapat dilihat dengan jelas dari angkasa kerana kedudukan empangan yang terletak ditengah-tengah kawasan bombon di antara Riluh Dimala dan Kinoukabon yang mana telah dibina untuk membantu penduduk kampung Piasau Dundau untuk mengairi kawasan tanah sawah mereka. Walaupun penduduk kampung Rangalau sedikitpun tidak menikmati kemudahan pengairan tersebut, atas dasar toleransi, para pemimpin awal kampung Rangalau telah merestui pembinaan empangan tersebut lebih dari 20 tahun yang lalu.
Jika dilihat dari segi kerugiannya, empangan ini telah mengakibatkan hakisan tanah malah telah memusnahkan sebahagian dari kawasan pertanian yang terletak berhampiran dengan sungai tersebut, ancaman banjir besar juga sentiasa menghantui penduduk kampung setiap kali musim hujan. Selain dari itu menurut sumber dari jabatan pengairan daerah, jika hujan lebat turun dengan serentak di kedua dua kawasan bukit yang mengapit sungai kadamaian tersebut, kawasan kampung ini merupakan satu satunya laluan banjir dan kemungkinan seluruh kawasan kampung ini akan ditenggelami air. Walaupun kebarangkalian fenomena tersebut amatlah kecil sekali tetapi ia cukup untuk mencetuskan perasaan tidak selesa di kalangan warga Rangalau.
Dari segi keuntungannya pula, empangan itu telah membentuk satu ekosistem yang berpotensi untuk menjana ekonomi melalui industri pelancongan. Struktur empangan tersebut telah menyokong air sungai Kadamaian sejauh 1 kilometer ke hulu, iaitu dari Linsukon ke Kinoukabon. Jika diurus dengan sebaik baiknya, bombon ini boleh menjadi aset yang hebat dan seterusnya membuka peluang kepada penduduk kampung untuk menceburkan diri dalam industri pelancongan. Kawasan Tagal atau lebih dikenali sebagai Bombon merupakan aset utama. Hidupan air terutamanya ikan merupakan tarikan yang diminati ramai, kerana ikan bersaiz besar kini tidak boleh kelihatan di kebanyakan sungai ada pada waktu ini kerana pupus akibat aktiviti penangkapan yang tidak terkawal, kecualilah kawasan sungai tersebut ditagal atau dibombon. Ikan mempunyai ciri-ciri menarik dan amat menghiburkan. Bombon Rangalau berpotensi untuk menjadi salah satu tarikan akuakultur semulajadi yang unggul di daerah Kota Belud, setanding dengan pusat-pusat tarikan seumpamanya yang terdapat di seluruh negeri Sabah mahupun di negara kita Malaysia. Namun begitu, untuk mencapai ke tahap itu, usaha yang tidak kenal penat lelah harus ada, lambat launnya impian ini pastinya akan menjadi kenyataan. Sudah tibanya pemimpin-pemimpin Kampung Rangalau merangka 'WAWASAN 2020 - RANGALAU', yang mana pada waktu itu Rangalau merupakan satu tempat yang maju dan terkenal di seluruh negara dan seterusnya di mata dunia. <>


Pemandangan Pada Waktu Pagi

The Tagal Guardian

The Tagal Guardian
Rapain & Sehing

Follower